Bingkisan dari Festival Beliawanis Nasional




    Setinggi kesyukuran ke hadrat ilahi atas izinNya kami dapat menghadirkan diri ke Festival Beliawanis Nasional (FBN) yang diadakan di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Gombak . Program ini dihadiri oleh beliawanis dari seluruh semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.  Penyertaan dari Kuala Terengganu terdiri daripada 75 beliawanis. Royal Medical College Perak telah mencatat penyertaan berkumpulan paling tinggi iaitu seramai 90 beliawanis.



peserta FBN bersama  panelis forum "Gaza, Kami Bersamamu"

Majlis dimulai dengan bacaan surah an-nisa’ diikuti dengan ucapan pengarah program FBN, saudari Hamimah binti Ibrahim yang juga merupakan Ketua beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA). Menurutnya, keadaan masalah sosial dikalangan wanita yang kian tenat pada masa kini membuatkan PEMBINA rasa terpanggil untuk mengadakan FBN agar dapat memberi kesedaran dan panduan kepada para wanita khususnya beliawanis tentang kepentingan memelihara jati diri dan mengamalkan cara hidup islam secara sempurna.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah saudara Ibrahim bin M. Hasan, presiden PEMBINA. Beliau menegaskan tentang peranan besar wanita dalam usaha melahirkan dan mendidik generasi-genarasi hebat yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Beliau juga ada mengulas tentang isu ‘Listen’ yang menjadi topik hangat di media sosial masa kini. Beliau mengingatkan kepada para beliawanis bahawa kekuatan wanita itu bukan terletak pada kelantangan bersuara tetapi kekuatan wanita adalah pada kelembutan. Akhlak ketika berbicara dan memberi pandangan perlu dititik beratkan.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Mizan bin Hitam, Timbalan reaktor UIAM. Beliau amat teruja dengan jumlah penyertaan yang begitu ramai bagi program ilmiah seperti FBN. Hal ini kerana para belia pada masa kini lebih gemarkan program berbentuk hiburan. Dalam ucapannya, beliau menasihati para beliawanis supaya menjadi wanita yang hebat dan solehah kerana wanita sangat berperanan dalam jatuh bangun seorang lelaki yang bergelar pemimpin. Beliau juga memetik kata-kata Bapak Muhammad Nasir yang merupakan perdana menteri Indonesia yang pertama iaitu, “seorang pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah, tetapi pemimpin lahir dari kancah masalah. Berusaha mencari penyelesaian, sanggup keluar dari kelompok rakan sebaya barulah dia menjadi seorang pemimpin yang didokong oleh masyarakat”. Mutiara kata tersebut menaikkan lagi semangat para beliawanis untuk terus bergerak aktif.

Program ini diisi dengan pelbagai pengisian yang menarik dan berguna untuk persiapan menjadi beliawanis yang hebat. Perkongsian dari panelis forum “Membina Jati Diri, Memberi Inspirasi ini telah menyuntik semangat kepada seluruh beliawanis supaya menjadi muslimah yang hebat di bidang kerjaya dan juga di institusi keluarga. Slot penjagaan diri wanita memberi panduan kepada muslimah untuk tampil yakin dengan imej profesional dan menepati syara’. Slot penyelenggaran kereta pula memberikan informasi berguna supaya beliawanis dapat berdikari. Setiap slot dalam FBN ini diselang-selikan dengan persembahan nasyid, boria dan sayembara puisi yang turut dideklamasikan oleh ahli PEMBINA Universiti Sultan Zainal Abidin.



Pada sebelah petangnya pula, program dimulakan dengan bengkel kesihatan yang membincangkan tentang kanser bagi wanita. Forum “Gaza, Kami Bersamamu sangat menarik hati para beliawanis. Perkongsian tentang ketabahan dan kehebatan rakyat Gaza dalam menghadpai kehidupan seharian yang sulit banyak memberikan keinsafan. FBN diakhiri dengan acara kemuncak iaitu persembahan teater “Ibu Partiwi”. Teater ini adalah simbolik kepada keadaan negara Malaysia pada masa kini. Mesej yang disampaikan sangat menusuk ke hati. Masalah sosial masyarakat yang kian tenat ditonjolkan dalam teater ini seperti gejala rasuah, buang dan bunuh bayi, kecelaruan identiti, gejala rempit serta isu akidah iaitu tentang fahaman syiah dan pluralisme. Setiap pelakon telah memainkan watak dengan begitu berkesan sehingga berjaya menyentuh hati para penonton.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya mencapai obejktif. Penekanan jati diri muslim pada setiap belia amat perlu dititik beratkan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam. Mengamalkan cara hidup seperti yang dianjurkan Islam adalah penyelesaian kepada setiap masalah sosial yang berlaku pada masa kini. Oleh yang demikian para belia perlu kembali kepada Islam untuk menjadi seorang belia yang hebat.

Sebahagian Beliawanis yang Mewakili PEMBINA Kuala Terengganu